
Program KL Fox dan Emcomm Go Box Competition 2015 telah diadakan pada 9 Mei 2015 Sabtu di Taman Tasik Permaisuri Cheras. Ia dianjurkan oleh Marts dengan kerjasama beberapa pihak telah berjaya menarik minat pengamal radio amatur sekitar lembah klang dan negeri lain.

Pada kali ini aku berkesempatan menghadirinya disebelah petang menyaksikan pertandingan Go Box sahaja. Sebelah pagi yang hujan diadakan acara ARDF Kl Fox. Berpandu stesen aprs yang telah wujud di sini memudahkan aku ke lokasi. Aku turut mengaktifkan aprs bagi memudahkan rakan mengetahui akan kehadiranku.

Setibanya ditapak A Taman Tasik Permaisuri acara taklimat Go Box telah diberi oleh 9W2SMF Fadhil tentang perkara-perkara pertandingan Go Box ini. Beliau memberi situasi kecemasan yang berlaku di Hulu Langat adalah banjir. Jadi, peserta harus berfikir tentang situasi yang diberikan bagi menyediakan peralatan komunikasi kecemasan yang sesuai dengan situasi yang diberikan.

Oleh kerana di sebelah paginya hujan, menyebabkan kawasan tapak program lecak dan sedikit berair. Secara tidak langsung turut memberi situasi keadaan cuaca yang mengganggu keselesaan dan kelancaran program yang harus ditempuhi. Pengamal radio amatur yang sering terlibat dengan aktivti menyelamat pasti tidak menghadapi masalah yang kecil ini memandangkan situasi sebenar yang lebih sukar dan teruk pernah dilalui.



































